Saturday, April 25, 2009

bau syurga..

satu perkongsian..

ketika perang uhud sedang berlangsung(tahun 3 Hijrah), dan pada waktu itu, tentera Islam berada dalam kekacauan yang teramat.. telah tersebarnya berita palsu yang mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w sudah wafat melemahkan semangat sebahagian besar dari mereka.. ada di kalangan mereka yang berhenti berperang dan mencampakkan senjatanya. yang lain pula ada yang memikirkan untuk berhubung dengan Abdullah bin Ubay, ketua orang menafik yang telah terlebih dahulu menarik diri dari medan perjuangan yang mulia itu.. tujuan mereka untuk berhubung itu adalah semata-mata supaya Abdullah dapat mengusahakan perdamaian dengan Abu Sufyan.. suasana ketika itu sangatlah kucar kacir dan kacau bilau.. serangan balas kali kedua dari pihak musyrikin Mekah itu sangatlah tidak disangka oleh mereka yang leka mengutip harta rampasan yang pada sangkaan adalah milik mereka..aduhai..

pada ketika inilah, salah seorang sahabat Ansar, Anas bin al-Nadr lalu di hadapan kumpulan ini yang telah berhenti berperang. lalu dia berkata, "apa yang kamu tunggu?". mereka menjawab," Rasulullah s.a.w telah dibunuh". Anas lalu berkata," Apa ertinya kamu hidup kalau baginda sudah mati? bangun dan matilah sebagaimana matinya Rasulullah s.a.w". kemudian Anas berkata lagi, "Ya Allah, aku memohon keampunan-Mu daripada perlakuan mereka ini (yakni tentera-tentera Islam), dan aku berlepas diri daripada perbuatan mereka itu (yakni tentera-tentera musyrikin)". kemudian Anas bergerak ke hadapan lalu ditemui oleh Sa'ad bin Mu'adh, lalu Sa'ad bertanya, " ke mana kamu hai Abu 'Amir?" jawab Anas, "ah, bau syurga hai Sa'ad, sesungguhnya aku menghidu bau syurga di sebalik Uhud". kemudian Anas terus pergi dan berjuang sehingga terkorban. jenazahnya tidak dapat dikenali melainkan oleh saudara perempuannya yang mengenalinya- selepas perang- dengan melihat jari-jarinya. pada tubuhnya terdapat kira-kira lapan puluh kesan tikaman lembing dan tetakan pedang serta tusukan anak panah..
(petikan dari al-Rahiq al-Makhtum,m.s 394)

note: alangkah indahnya bait kata-kata juang sahabat ini, di kala keburukan mengasak dari segenap arah, beliau kekal bersemangat meyakini janji Allah dan Rasul-Nya, yakni syurga buat mereka yang tetap ikhlas dalam perjuangan..menukarkan halangan kepada peluang mendapat syurga..sungguh, saya rindu kepada mereka yang terdahulu..sungguh, saya juga ingin mencium bau syurga itu.."Ya Rahman Ya Rahim, mohon dimatikan kami semua sebagai pejuang ikhlas yang tegar dalam perjuangan menegakkan agamaMu.."

No comments: