tengkujuh dah mula bertamu di Terengganu.. hujan hampir setiap hari, dan air yang keluar dari pili dah terasa bagaikan sejuknya ais. sejuk... yang mendamaikan..alhamdulillah..
wajah-wajah mereka yang impiannya tercapai, berseri-seri dilimpahi cahaya kesenangan dari dalam hati.. Doa saya agar mereka selamat pergi dan kembali, dan disejahterakan Tuhan ketika menjadi tetamuNya di sana. Terasa tenang kerana dapat menggembirakan hati-hati mereka dengan pulang meraikan pemergian mereka selama hampir 50 hari itu. Walaupun pada mulanya ada yang mempersoalkan kepulangan kami. Hanya mampu saya jawab di dalam hati apabila ada yang membandingkan antara kami adik-beradik dengan sepupu yang lain [yang tidak turut serta pulang];
bukan mereka yang membesar dengan mendengar lawak jenaka datuk yang menyegarkan jiwa dan menyerikan suasana..
bukan mereka juga yang hidupnya dari kecil membesar dengan sihat hasil air tangan nenek yang mengalir bersamanya kasih sayang mekar meranum mewarnai hidup kami selama ini...
bukan juga mereka yang tiap kali bepergian dari kampung halaman kerana menyahut seruan ilmu akan dibekali dengan duit poket yang bukan sedikit tanda ingatan kasih yang mendalam walaupun nilai di dalam tangan hanya cukup-cukup untuk rezeki sehari-hari,
dan bukan mereka juga yang mengalami dan memahami perit seksanya rindu di hati kami ketika ribut taufan melanda beberapa tahun yang lalu, yang ketika itu hanya doa sahaja mampu dikirimkan tanpa bersua muka dek kerana halangan yang dicipta manusia yang khilaf..
Hanya Allah sahaja yang mengetahui kesan jejak datuk dan nenek yang ditinggalkan dalam kehidupan kami teramat sangat besar maknanya, tak dapat dihurai dengan kata-kata. Dan saya tau rahsianya terletak kepada doa mereka yang tidak pernah putus buat kami sedari kami kecil, agar kami hidupnya menjadi manusia yang berguna, cemerlang dalam aspek akademik, dunia dan akhirat.. Tautan hati yang tidak pernah putus kerana penyeri dan pengikatnya adalah rahmah dari Allah jua..
saya sudah mula rindukan mereka..
moga Allah menjaga mereka dengan kasih sayangNya yang tak pernah kunjung habis ketika mereka di sana..
No comments:
Post a Comment